Advertisement

GRS Hormat Proses Undang-Undang, Jangan Buat Kesimpulan Berdasarkan Persepsi – Armizan – Sabah News

PAPAR: Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal konsisten dalam menghormati proses undang-undang.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, yang menyatakan bahawa isu rasuah yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin politik Sabah bakal mencetuskan perubahan dalam landskap politik negeri.

“Kita sejak dari awal isu berbangkit dan tuduhan dibuat terhadap para pemimpin parti, GRS berlapang dada menyerahkan kepada proses undang-undang.

“Inilah pendirian yang diperjelaskan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor,” Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa GRS tidak pernah membuat kenyataan terbuka berhubung kes-kes yang melibatkan pemimpin parti lain, sebaliknya memilih untuk tidak melatah dan menghormati prinsip “seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”.

“Saya tidak berhajat untuk meminta mana-mana pihak berlaku adil kepada GRS, tetapi jangan pula kita memilih untuk memejam sebelah mata dan tidak melihat realiti di depan kita,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai kes terbaru melibatkan isu mineral yang kini telah dibawa ke mahkamah.

“Menarik dan mengejutkan apabila individu yang sebelum ini berbicara terbuka di media mendakwa memberi imbuhan rasuah kepada ramai ADUN, akhirnya tidak mengaku bersalah apabila pertuduhan disebut di mahkamah. Tidak mengaku bersalah bermakna beliau tidak memberi rasuah,” katanya.

Armizan turut mengingatkan agar semua pihak tidak membuat kesimpulan awal berasaskan persepsi atau sentimen media sebelah pihak.

“Jangan kita terikut-ikut memutuskan seseorang adalah penjenayah rasuah sebelum berakhirnya proses siasatan dan perbicaraan di mahkamah. Persepsi tidak semestinya satu realiti,” katanya lagi.