Advertisement

BESS 100MW Lahad Datu Terbesar di Asia Tenggara, Mula Disambung ke Grid Sabah – Sabah News

LAHAD DATU: Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System – BESS) berkapasiti 100 Megawatt (MW) dengan jumlah simpanan tenaga 400 Megawatt-jam (MWj), iaitu yang terbesar di Asia Tenggara, kini mula beroperasi dan telah disambungkan ke sistem Grid Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, projek yang dibangunkan sejak September 2024 itu kini membantu menampung tenaga rizab simpanan Grid Sabah sebanyak 50MW pada waktu puncak, dan dijangka mencapai kapasiti penuh 100MW menjelang awal Ogos.

“Dengan adanya sistem bateri ini, bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur Sabah yang sebelum ini mengalami kekurangan dapat ditambah baik,” katanya selepas melakukan lawatan ke tapak projek BESS di Jalan Dam di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Elopura Power Sdn Bhd, Ir. Ts. Qaddafi Abdullah Bajerai.

Menurut Mohd Yaakob, kepercayaan yang diberikan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kerajaan Negeri Sabah kepada SESB untuk melaksanakan projek ini telah digalas dengan penuh tanggungjawab.

“Kami berusaha memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual bagi meningkatkan prestasi bekalan elektrik yang mampan di negeri ini,” jelas beliau.

Tambahnya, lokasi strategik stesen BESS di Jalan Dam menjadikannya sebagai ‘game changer’ dalam menjamin kestabilan bekalan elektrik di Pantai Timur dan seluruh Grid Sabah.

“Projek ini bukan sahaja menambah baik kestabilan sistem grid, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan menggalakkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya.

Pelaksanaan projek ini selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mengintegrasikan sumber tenaga hijau dalam sistem tenaga negara.