KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal berusia 32 tahun maut dalam kemalangan berhampiran Pusat Perubatan Jesselton sekitar jam 11.15 pagi kelmarin.
Mangsa yang merupakan rider penghantar makanan maut di lokasi kejadian selepas motosikal SYM yang ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh sebuah Perodua Myvi.
Siasatan awal mendapati mangsa membrek secara mengejut untuk mengelak sebuah Toyota Hilux yang memotong laluan, sebelum dilanggar oleh Myvi dari arah belakang.
Pemandu Myvi, seorang lelaki berusia 23 tahun, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I.
Ketua Polis Daerah, ACP Kasim Muda, menyeru saksi kejadian atau individu yang mempunyai rakaman dashcam untuk tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Insp. Brymenedren Godon di talian 010-7768802.