KOTA KINABALU: Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu sedia untuk memperkukuh kerjasama dengan Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Sabah, khususnya dalam usaha perniagaan.
Presiden MCCC, Datuk Dexter Lau berkata, beliau sentiasa membawa matlamat jitu untuk mengangkat sektor perniagaan tempatan ke pasaran lebih luas khasnya ke China, sekaligus membantu menyumbang kepada peningkatan ekonomi Sabah.
“Matlamat utama kita bersama adalah untuk membantu perniagaan tempatan menembusi pasaran China dan menubuhkan platform dialog antara kerajaan dan sektor perniagaan.
“Selain itu, sesi pertukaran antara kerajaan, serta memperluas interaksi dalam bidang pendidikan, pembangunan belia dan keterlibatan budaya bagi mewujudkan momentum baru dalam kerjasama dua hala juga menjadi antara aspek yang kita fokuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir dalam sebuah Majlis Makan Malam bersama Konsul Jeneral Dr. Zhu Xinglong, di sini, baru-baru ini.
Menurut Dexter, majlis makan malam itu adalah sebuah sesi pertemuan yang diadakan bagi mereka saling bertukar pandangan dan berkongsi idea.
“Konsul Jeneral diiringi Timbalan Konsul Jeneral Xue Xiaoning serta Konsul Fan Yichang, Liang Yutai dan Wen Desi hadir dalam sesi pertukaran mendalam bersama wakil MCCC Sabah ini.
“Kedua-dua pihak berbincang secara meluas mengenai pengukuhan kerjasama dua hala Malaysia–China, mengeratkan hubungan di peringkat subnasional dan tempatan, serta menggalakkan pertukaran dalam bidang ekonomi, perdagangan dan budaya,” katanya.
Dexter turut berkongsi bahawa dewan tersebut kekal komited terhadap prinsip panduan “komunikasi, kerjasama dan manfaat bersama,” dan akan terus memimpin ahlinya untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai peringkat kerjasama Malaysia–China.
“Dalam beberapa bulan akan datang, MCCC Sabah merancang beberapa lawatan pertukaran ke China, termasuk ke Chongqing, Universiti Yunnan, Zhengzhou di Wilayah Henan dan Xinjiang.
“Ini adalah kerana kita menyertai forum ekonomi, sesi padanan perniagaan dan meneroka peluang kerjasama, dengan matlamat memperluas prospek perniagaan dan mengintegrasikan sumber rentas sempadan,” kata Dexter.
Selain itu, Dexter turut menyatakan harapan beliau untuk melihat jaringan kerjasama terus terjalin sekaligus dapat menambah hubungan bersama rakan strategik baru.
“Saya amat berharap Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu akan terus memanfaatkan jaringan dan sumbernya bagi menyokong dewan ini, membantu ahli dalam menembusi pasaran China, menjalin hubungan dengan rakan strategik baharu, serta mengakses platform berimpak tinggi.
“Ini adalah demi memperkasa usahawan Sabah, terutamanya komuniti perniagaan Cina, agar menjadi lebih berdaya saing dan berprofil tinggi.
“Majlis makan malam mesra ini bukan sahaja menonjolkan komitmen padu Konsulat Jeneral untuk menyokong MCCC Sabah, bahkan menyuntik dorongan baharu ke arah memperkukuh kerjasama strategik China–Malaysia,” tambah Dexter.
Dalam pada itu, Dr. Zhu menekankan bahawa Kerajaan China amat menghargai hubungan strategik komprehensif bersama Malaysia.
“Khususnya, lawatan kenegaraan Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April 2025 menandakan permulaan era “50 Tahun Keemasan” dalam hubungan dua hala.
“Sepanjang lawatan tersebut, kedua-dua negara memeterai pelbagai perjanjian merangkumi perdagangan, teknologi, pertanian, pendidikan dan budaya yang menyuntik nafas baharu ke dalam hubungan Malaysia–China,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Sabah memainkan peranan strategik penting dalam kerangka kerjasama Malaysia–China.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dari eksport minyak sawit hingga perkhidmatan pelancongan, perdagangan Sabah dengan China mencatatkan pertumbuhan stabil, sekaligus membuktikan potensi besar negeri ini,” katanya.
Hadir sama dalam majlis ini ialah wakil MCCC Sabah Penasihat Kehormat Sepanjang Hayat Datuk Lau Kok Sing, Penasihat Kehormat Datuk Soh Poh Soon, Bekas Presiden Datuk Michael Chin, Timbalan Presiden Kapitan Dr. Callee Tan, Naib Presiden Lau Jiin Woei dan Loius Su, Bendahari Shawn Tan, Timbalan Bendahari Tommy Lo, Ahli Jawatankuasa Usahawan Wanita (WEC) Angelina Zhang dan Liu Li Rong, serta ahli-ahli lain seperti Datuk Lim Su Chung, Dr. Wong Tze Sheng, Dexter Yeh, Bernard Chu dan Douglas Chong.