Advertisement

ECoS Perjelas Isu Keperluan Lawatan Berkala Orang Kompeten ke Atas Pemasangan Standby Genset – Sabah News

KOTA KINABALU:Energy Commission of Sabah (ECoS) mengambil maklum rungutan daripada pemunya genset di premis rumah kediaman mengenai keperluan lawatan berkala oleh Orang Kompeten selaras dengan Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid menjelaskan bahawa berdasarkan Peraturan sedia ada, tidak semua pepasangan berdaftar standby genset memerlukan lawatan berkala orang kompeten.

“Bagi pepasangan standby genset pada tahap voltan rendah dan menerima bekalan menggunakan alat suis pada kadaran kurang 100 ampere samada rumah kediaman, premis komersial dan industri adalah tidak memerlukan lawatan berkala Orang Kompeten.

“ECoS juga memutuskan untuk tidak mewajibkan lawatan berkala bagi pepasangan berdaftar voltan rendah melibatkan rumah kediaman dan premis komersil yang mendapat bekalan melalui alat suis pada kadaran melebihi 100 ampere tetapi kurang daripada 300 ampere,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Manakala bagi premis industri termasuk stesen-stesen minyak boleh dikurangkan daripada sebulan sekali kepada tiga bulan sekali.

Bagi pepasangan berdaftar premis komersil dan industri bersaiz besar iaitu yang mendapat bekalan pada tahap voltan 11,000 volt, pengurangan boleh dipertimbangkan daripada dua kali setiap bulan kepada satu kali setiap bulan.

Manakala pepasangan pada tahap voltan melebihi 11,000 volt sehingga 132,000 volt, pengurangan boleh dipertimbangkan daripada empat kali setiap bulan kepada dua kali setiap bulan.

Ini disebabkan kerana bagi pepasangan di premis komersial dan industri tersebut, sekiranya berlaku sebarang kegagalan operasi, ia boleh mendatangkan risiko yang lebih besar bukan sahaja kepada pemunya tetapi kepada pekerja yang mengendalikan pepasangan, penghuni dan orang awam.

Keputusan ini dibuat selaras dengan punca kuasa di bawah Peraturan 72, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024. Walaubagaimanapun, sebarang pengurangan kekerapan lawatan yang dinyatakan di atas perlu dipohon dan masih tertakluk kepada pengesahan tahap keselamatan yang akan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai ECoS.

Nasser berkata, walaupun pengecualian dan pengurangan kekerapan lawatan diberikan, pemunya pepasangan bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan pepasangan berada dalam keadaan selamat.