Advertisement

Lelaki Warga Asing Ditahan, Syabu Bernilai Hampur RM2,000 Dirampas – Sabah News

TAWAU: Seorang lelaki ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 56.87 gram di kawasan Kampung Brantian, Kalabakan, awal pagi Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga asing berusia lingkungan 38 tahun itu ditahan dalam satu serbuan khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau dalam Ops Gempur Khas kira-kira jam 5.00 pagi.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, suspek berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pihak polis memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, suspek telah menyerahkan sebuah beg di dalamnya mengandungi 32 paket plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 56.87 gram dengan anggaran nilai hampir RM2,000,” katanya.

Tambah beliau, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan sebuah telefon bimbit berjenama.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah ACP Jasmin, risikan sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket pengedaran dadah yang terlibat di kawasan berkenaan.

ACP Jasmin turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah memusnahkan masa depan diri, keluarga dan masyarakat.

“PDRM akan terus melipatgandakan operasi, risikan serta penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan bagi mengekang penularan dadah di kawasan pedalaman dan bandar.

“Kami juga menggalakkan masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti berkaitan dadah berlaku di kawasan mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, kerjasama orang awam amat penting dalam membanteras jenayah dadah secara menyeluruh demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terpelihara.