Advertisement

UMNO Sabah Lebih Banyak Kes Rasuah Berlangsung, Jangan Sibuk Campur Urusan Orang Lain – G57 – Sabah News

Zulkarnain
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar…

KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menempelak kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, yang mendesak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor supaya merehatkan wakil rakyat GRS-PH yang dikaitkan dengan kes rasuah.

“UMNO Sabah sendiri mempunyai lebih banyak kes rasuah yang masih berjalan di mahkamah, jadi mengapa sibuk mencampuri urusan wakil rakyat GRS-PH?” tegas Zulkarnain dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mempersoalkan mengapa Rosman tidak menegur Datuk Seri Bung Moktar Radin, Ketua UMNO Sabah, yang sedang dibicarakan atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.

“Bung Moktar masih memegang jawatan Ketua UMNO Sabah dan malah mahu jadi Ketua Menteri, sedangkan beliau sedang turun naik mahkamah. Sepatutnya Rosman arahkan beliau untuk berehat, bukan sibuk hal orang lain,” katanya.

Zulkarnain turut mengingatkan bahawa pertuduhan terhadap dua wakil rakyat GRS dan mesra GRS itu masih baharu, dan mereka belum diarahkan membela diri di mahkamah.

“Kes mereka masih dalam peringkat awal, dan kita percaya mereka akan diberi ruang untuk bersihkan nama. Belum pun dibuktikan bersalah,” ujarnya.

Lebih membimbangkan, kata beliau, masih banyak kes berkaitan pemimpin UMNO Sabah yang belum didedahkan secara menyeluruh termasuk dakwaan terhadap isteri seorang pemimpin UMNO Sabah yang dikaitkan dengan rampasan RM170 juta wang tunai dan jongkong emas oleh SPRM, serta komisen RM6 juta berkaitan pembinaan hospital.

“Ini belum termasuk pembelian barangan golf RM200,000 secara tunai, kaitan dengan individu bernama Albert Tei, dan pelbagai lagi kes yang sepatutnya disiasat,” katanya lagi.

Beliau menyifatkan Rosman seolah-olah “membutakan mata dan memekakkan telinga” terhadap isu dalaman UMNO, sambil gagal menerima realiti bahawa rakyat Sabah sudah menolak parti itu.

“Jika DUN dibubarkan, saya yakin kesombongan pemimpin UMNO Sabah akan dihukum oleh rakyat dalam PRN-17 nanti,” katanya.