PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil langkah tegas dalam menambah baik tahap disiplin dan profesionalisme dalam kalangan pegawainya apabila menetapkan bahawa pegawai dan anggota yang mengalami masalah obesiti tidak lagi akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat bermula Januari 2026.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketetapan tersebut dibuat sebagai usaha untuk membentuk anggota yang bukan sahaja cemerlang dari segi integriti dan prestasi, malah menampilkan imej sihat dan cergas sebagai pegawai penguat kuasa.
“Pegawai yang mengalami masalah berat badan berlebihan akan diberikan masa untuk memperbaiki tahap kesihatan mereka sebelum boleh dipertimbangkan untuk sebarang kenaikan pangkat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan SPRM, semalam.
Menurut Azam, garis panduan dan penilaian Indeks Jisim Badan (BMI) akan digunakan sebagai asas dalam menentukan kelayakan fizikal anggota yang terlibat.
SPRM akan memberi tempoh bertenang bagi mereka yang terkesan untuk mengambil tindakan seperti menjalani program kecergasan dan pemakanan sihat.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah itu bukan bertujuan menghukum, tetapi sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi dalaman SPRM untuk melahirkan anggota yang lebih berdisiplin dan berkualiti secara menyeluruh.
Langkah tersebut disambut baik oleh kalangan pegawai kanan SPRM yang melihatnya sebagai dorongan positif ke arah kehidupan sihat serta sebagai satu bentuk penilaian merit yang lebih menyeluruh.
Sebelum ini, SPRM juga memperkenalkan latihan fizikal berkala serta pemeriksaan kesihatan wajib bagi anggota mereka.