Advertisement

Sabah Wajar Terlibat Dalam Rundingan Ambalat – Bung – Sabah News

Datuk Seri Bung Moktar Radin, ADUN Lamag…

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Sabah berhak untuk terlibat dalam sebarang rundingan berkenaan kawasan pertikaian Ambalat antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut beliau, walaupun Pilihan Raya Negeri Sabah semakin hampir, isu kedaulatan seperti Ambalat tidak seharusnya dipolitikkan demi kepentingan sempit mana-mana pihak.

“Ia melibatkan kepentingan negeri dan negara. Isu ini perlu ditangani secara bertanggungjawab dan tidak dijadikan modal politik jangka pendek,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau juga mengingatkan supaya isu sensitif seperti sempadan maritim tidak dijadikan bahan retorik politik kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan penyelesaian sebenar.

“Pendekatan diplomasi adalah jalan paling rasional dalam menangani pertindihan tuntutan di Ambalat,” tegasnya.

Beliau turut menyeru kerajaan Persekutuan agar melibatkan kerajaan negeri Sabah dalam Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia yang dijadualkan berlangsung di Jakarta pada 29 Julai ini, khususnya membabitkan dasar pembangunan bersama di kawasan Ambalat.

“Ini penting supaya suara Sabah diiktiraf secara sah dalam sebarang keputusan berkaitan,” katanya.

Bung turut menyeru semua pihak agar kekal rasional dan bersatu dalam mempertahankan kedaulatan negara, di samping memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat yang sewajarnya hasil daripada sebarang rundingan.