KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap seorang taikun syarikat dari Singapura yang dikaitkan sebagai pembiaya utama dalam skandal rasuah berprofil tinggi membabitkan Datuk Albert Tei dan beberapa pemimpin UMNO Sabah.
Siasatan ini menyusuli penularan sebuah artikel di media sosial yang mendakwa individu berpengaruh dari luar negara itu memainkan peranan penting dalam rangkaian dana tidak sah yang dikatakan telah mempengaruhi keputusan dan projek tertentu di Sabah.
Menurut sumber SPRM, siasatan yang dimulakan bertujuan mengesahkan kebenaran maklumat yang tersebar, khususnya yang menyentuh pembabitan individu asing dalam urusan kewangan dan politik tempatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi, mengesahkan perkara tersebut.
“Ya, kita telah membuka siasatan. Beberapa saksi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dan merakam percakapan mereka,” kata Azam.
Setakat ini, SPRM belum mendedahkan identiti individu terbabit atau butiran lanjut mengenai hubungan beliau dengan pihak-pihak yang sedang disiasat, namun siasatan ini dijangka akan membuka satu lagi dimensi penting dalam kes rasuah yang sedang menjadi perhatian rakyat Sabah dan negara.
Kes ini merupakan antara beberapa siri siasatan berterusan oleh SPRM yang menyasarkan jaringan kewangan luar negara dan peranan pihak ketiga dalam urusan pentadbiran dan sumber negeri, khususnya dalam sektor perlombongan dan perolehan projek.