KOTA KINABALU: Komen berunsur spekulatif dan naratif yang dipolitikkan boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan mesti dielakkan sama sekali.
Itulah mesej tegas Timbalan Pengarah Hal Ehwal Perdagangan, Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Dr. Brian Wong di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Dexter Lau.
Wong menggesa semua pihak untuk bersikap berhemah, bertanggungjawab dan menghormati proses undang-undang, sambil menekankan bahawa kes-kes yang sedang dalam pertimbangan kehakiman tidak wajar dipolitikkan atau disensasikan dalam wacana awam.
“Adalah amat penting untuk kita membenarkan proses kehakiman dan pihak penguatkuasa yang berkaitan menjalankan tugas mereka secara bebas dan tanpa gangguan.
“Komen spekulatif dan berbaur politik, terutama apabila kes masih dibicarakan di mahkamah, hanya akan mengapi-apikan sentimen awam, menghakis kepercayaan terhadap institusi, dan merosakkan keyakinan pelabur,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa retorik sebegini bukan sahaja mempunyai implikasi dari sudut undang-undang, malah memberi kesan langsung kepada ekonomi Sabah.
“Kita perlu sedar bahawa pelabur dan pemimpin perniagaan sentiasa memerhati perkembangan semasa.
“Apabila ketidaktentuan mendominasi tajuk utama berita dan wacana awam menjadi terlalu politikal atau bermusuhan, ia memberi isyarat yang salah kepada pelabur sedia ada dan bakal pelabur,” katanya.
Tambah beliau, asas kepada ekonomi yang kukuh dan mampan ialah ketelusan, tadbir urus yang baik, dan keluhuran undang-undang.
“Jangan kita halau kestabilan perniagaan dan pelabur yang berpotensi. Apa yang kita ucapkan dan cara kita mengungkapkannya memberi kesan.
“Pelabur bukan sekadar menilai peluang, mereka menilai persekitaran. Dan Sabah telah bekerja keras membina reputasinya sebagai destinasi perniagaan yang mesra, dipercayai dan terurus dengan baik.
“Pertumbuhan ekonomi bergantung kepada keupayaan kita untuk membina kepercayaan terhadap sistem kita, terhadap institusi kita, dan terhadap keadilan dalam proses undang-undang. Ini bukan masa untuk menuding jari atau membuat andaian,” tambahnya.
Beliau turut menggesa semua pihak termasuk pemimpin politik, media dan masyarakat umum agar bertindak dengan penuh tanggungjawab serta membenarkan sistem kehakiman berjalan seperti sepatutnya.
“Cukup-cukuplah politikkan isu. Hentikan penilaian siapa benar siapa salah berdasarkan khabar angin atau emosi.
“Sistem perundangan Malaysia, walaupun tidak sempurna, telah membimbing demokrasi dan pembangunan ekonomi kita selama berdekad. Ia wajar diberi kepercayaan,” katanya.
Wong turut menekankan keseriusan kes semasa yang melibatkan institusi penting seperti Pejabat Ketua Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.
“Institusi-institusi ini adalah tiang kepada kerangka tadbir urus negara, dan integriti mereka penting bukan sahaja untuk kestabilan dalaman Sabah, malah untuk kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan lagi soal pendapat peribadi, ini soal mempertahankan kredibiliti keluhuran undang-undang.”
“Biar keadilan berjalan. Biar mahkamah jalankan tugas tanpa tekanan atau prejudis. Dan jangan kita kompromi persekitaran perniagaan yang telah kita bina bersama,” katanya.