KOTA KINABALU: Parti Impian Sabah menegaskan pendirian tegas dalam mempertahankan hak Sabah ke atas kawasan Ambalat, yang terletak dalam lingkungan perairan dan kepentingan negeri ini.
Presidennya, Michel Alok, berkata bahawa sebarang keputusan, rundingan, penerokaan atau pembangunan yang melibatkan kawasan Ambalat mesti mendapat penglibatan, persetujuan dan pengetahuan rasmi Kerajaan Negeri Sabah serta wakil-wakil rakyat yang sah.
“Kami menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keputusan, rundingan, penerokaan atau pembangunan yang dibuat oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan Persekutuan tanpa penglibatan, persetujuan dan pengetahuan rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau wakil-wakil rakyat yang sah mewakili suara rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa tiada pihak berhak bertindak sewenang-wenangnya atau membuat keputusan secara unilateral terhadap tanah air dan perairan milik rakyat Sabah.
“Sebarang kerjasama dua hala, perjanjian pembangunan, pelaburan sumber asli atau melibatkan kawasan Ambalat wajib terlebih dahulu dirundingkan secara rasmi dengan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
Michel turut mengingatkan bahawa semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dihormati sepenuhnya, dan sebarang pencabulan terhadap hak Sabah dalam konteks ini merupakan pengkhianatan terhadap semangat pembentukan Malaysia itu sendiri.
“Sabah bukan pelengkap angka semata-mata tetapi rakan kongsi yang sah dan setaraf dalam Persekutuan Malaysia,” tegasnya.
Beliau berkata Parti Impian Sabah tidak menolak pembangunan atau kerjasama, sebaliknya menyambut baik sebarang rancangan yang membawa manfaat kepada rakyat negeri ini.
“Kami bukan menolak pembangunan. Sebaliknya, kami menyambut baik sebarang rancangan yang membawa manfaat kepada rakyat Sabah.
“Namun, pembangunan itu mestilah dilaksanakan dengan adil, menghormati kedaulatan Sabah, dan dengan penglibatan Kerajaan Negeri secara rasmi,” ujarnya.
Michel mengakhiri kenyataannya dengan satu penegasan tegas bahawa Parti Impian Sabah berdiri teguh mempertahankan hak Sabah dan Ambalat adalah amanah rakyat Sabah.