TENOM: Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan kepentingan memastikan parti lokal menjadi teras Kerajaan Negeri, demi menjamin agenda negeri terus dibincangkan secara langsung antara kerajaan (inter-governmental), bukan sekadar dalam struktur dalaman parti.
Berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Tahunan PGRS DUN Melalap pada Sabtu, beliau memberi contoh penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025, yang hanya diguna pakai di Semenanjung dan Labuan selepas Kerajaan Persekutuan menerima pandangan Kerajaan Sabah (GRS) dan Sarawak (GPS).
“Ini bukti jelas bagaimana model politik dengan teras berbeza di peringkat negeri dan pusat membolehkan rundingan dua hala yang lebih adil, berbanding jika kedua-dua peringkat diterajui parti nasional yang sama seperti pada tahun 2012,” katanya.
Armizan turut membandingkan dengan Akta Laut Wilayah (TSA) 2012, yang mengehadkan kuasa negeri ke perairan 3 batu nautika.
Katanya, ketika itu, tiada bantahan daripada Ahli Parlimen atau Menteri Persekutuan dari Sabah kerana mereka sebahagian daripada parti nasional yang sama.
“Mereka yang hari ini lantang bersuara tentang TSA 2012 adalah orang yang sama terlibat meluluskannya. Mengapa baru sekarang bersuara?” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa Sabah tidak menolak parti nasional, tetapi parti lokal mesti jadi teras kerajaan negeri agar suara Sabah sentiasa menjadi agenda utama dan bukan alat tawar-menawar politik pusat.