KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka terbubar secara automatik pada 11 November 2025, sekiranya tiada pembubaran lebih awal dilakukan, menurut Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
Katanya, pembubaran itu selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sabah yang menetapkan bahawa DUN akan terbubar dengan sendirinya lima tahun selepas tarikh pertama persidangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Tempoh sah penggal DUN Sabah akan tamat pada 11 November ini. Sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal, maka DUN akan terbubar secara automatik pada tarikh itu. Selepas itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk mengadakan PRN baharu,” katanya memetik Bernama.
Tambah beliau, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sabah yang dijadual berlangsung minggu hadapan dijangka menarik perhatian kerana dianggap sebagai sidang terakhir sebelum pembubaran.
Walaupun persidangan kali ini merupakan takwim biasa tanpa sebarang perancangan khas, katanya, minat orang ramai meningkat berikutan spekulasi politik dan kemungkinan pembubaran lebih awal.
Beberapa Rang Undang-Undang penting dijangka dibahaskan dalam sidang dua hari itu, termasuk RUU Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025, RUU Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025, dan RUU Hutan (Pindaan) 2025.
Untuk rekod, PRN Sabah terakhir diadakan pada 26 September 2020 selepas pembubaran DUN oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran negeri.
Dengan semakin hampirnya tarikh pembubaran automatik, tumpuan kini terarah kepada keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sama ada akan menasihati Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan DUN lebih awal dan memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17.