Advertisement

Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025 Kembali, Tampilkan Lagenda Tuner Jepun, Tiket Bermula RM48 – Sabah News

KUALA LUMPUR: Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) kembali pada hari ini hingga 10 Ogos 2025 di MITEC dengan barisan lagenda automotif Jepun, kenderaan ikonik dan penyertaan terbaik dari tuner tempatan.

Antara nama besar yang bakal hadir termasuk Smokey Nagata (Top Secret), Wataru Kato (Liberty Walk), Isami Amemiya (RE Amemiya), Takahiro Kataoka (KUHL Racing), Hisaaki Murakami (J’S Racing) serta Hiroshi Tamura, ‘bapa kepada GT-R moden’.

Antara kereta ikonik yang akan dipamer termasuk Top Secret VR32 Stealth GT-R – gabungan R32 dengan enjin R35, 1072hp; Ferrari F40 Liberty Walk – terkenal dengan ubah suai ekstrem; Super Silhouette ER34; RE Amemiya 3ROTAR NA-7; CREWCH R356C Concept GT-R; dan ALESS Century Complete WL.

TASKL25 juga memperkenalkan Malaysia’s Finest Tuners (MFT), ruang khas untuk mempamer dan menghargai tuner terbaik negara, serta pertandingan auto styling dan Mini TAS untuk peminat diecast.

Acara ini turut menawarkan pelbagai aktiviti seperti persembahan pentas, simulator RaceRoom, pertandingan cosplay, pertemuan dengan pelumba Zen Low, seni langsung oleh Zameer Pentbrush, dan cabutan bertuah motosikal tajaan EXN.

TASKL turut bekerjasama dengan Persatuan Ekuestrian Malaysia dan Lexus dalam Piala Perdana Menteri CSI1* yang akan berlangsung pada 25-27 Julai di KL Polo Club, sebagai simbol gabungan gaya hidup berprestij dan prestasi.

Sebagai pemanas acara, Malaysia GT-R Festival akan diadakan pada 2 Ogos di Gamuda Cove dengan sesi pertemuan peminat dan FL5 Type R Track Day di Litar Sepang.

Harga tiket TASKL25 bermula dewasa (sehari): RM48; kanak-kanak 6–12 tahun: RM30; combo Keluarga: RM120; dewasa (3 hari): RM120; percuma untuk bawah 5 tahun; dan diskaun 50 peratus untuk OKU dan penjaga.

Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh dibuat di laman web rasmi: www.tokyoautosalonkl.com atau media sosial TASKL.