Advertisement

Wanita Maut Dirempuh Kenderaan di Keningau – Sabah News

KENINGAU: Seorang wanita berusia 40 tahun maut di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab di hadapan sebuah bank di Jalan Masak, malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Keningau, Supritendan Yampil Anak Garai, berkata, mangsa dikenali sebagai Suzila Adip, berasal dari Kampung Samalang dan bekerja di ‘Casher Café’.

Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan tersebut daripada orang awam sekitar jam 7.40 malam yang memaklumkan insiden melibatkan dua kenderaan dan seorang pejalan kaki.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan terbabit datang dari arah Keningau menuju ke Jalan Masak.

“Keadaan jalan yang gelap dan tiada lampu jalan dipercayai menyumbang kepada kemalangan apabila mangsa melintas dari kiri ke kanan jalan,” katanya.

Tambahnya lagi, kesan pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke arah hadapan sebuah kereta Proton Saga yang turut berada di laluan bertentangan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.