Advertisement

KGKS Sokong Garis Panduan KPM Berkaitan Arahan Melalui Aplikasi Sosial – Sabah News

TUARAN: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar Kementerian Pendidikan (KPM) menggubal garis panduan khusus berkaitan penyampaian arahan melalui aplikasi sosial.

Presiden KGKS, Gundohing Murkam Hj Hussien berkata, garis panduan yang jelas penting untuk mengelakkan sebarang kekeliruan berhubung arahan sedemikian.

Beliau menjelaskan bahawa ini termasuk arahan yang dihantar melalui WhatsApp dan panggilan untuk menyertai mesyuarat dalam talian yang tidak mendesak di luar waktu bekerja.

“Kami tidak mahu berlaku situasi di mana guru diganggu selepas waktu kerja oleh pihak pentadbir sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), yang mengganggu kehidupan peribadi guru itu sendiri.

“Oleh itu, KGKS menyokong gesaan NUTP supaya Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan menyeluruh yang mudah difahami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Murkam berharap proses merangka dan melaksanakan garis panduan tersebut dapat dipercepatkan demi kepentingan semua pihak, khususnya guru di Sabah.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan garis panduan berkaitan penggunaan media sosial dalam kalangan guru dan sentiasa memantau keadaan bagi memastikan ia tidak disalah guna.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebelum ini dilaporkan berkata bahawa guru tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahgunakan platform tersebut, dan tindakan tegas akan diambil jika melanggar garis panduan yang ditetapkan.