KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan seorang pengguna TikTok membayar RM100,000 kepada Rosmah Mansor kerana memfitnah beliau dengan dakwaan terlibat dalam ilmu hitam dan bomoh.
Hakim Ahmad Shahrir Salleh membuat keputusan itu selepas defendan, Ku Hilmie Ku Din, 35, gagal memfailkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman Rosmah dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurut laporan Berita Harian, dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian melalui Zoom, Shahrir berkata isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Ku Hilmie.
Bayaran RM100,000 itu adalah bagi ganti rugi am dan teruk. Bagaimanapun, tuntutan untuk ganti rugi teladan ditolak kerana tiada bukti kukuh bagi menyokongnya.
Rosmah memfailkan saman itu pada 19 September 2023, menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada pemilik akaun TikTok tersebut atas kerosakan reputasi berikutan dakwaan yang dibuat.
Beliau mendakwa defendan telah memuat naik satu video mengandungi kenyataan palsu dan berunsur fitnah terhadapnya kira-kira enam bulan sebelum saman difailkan.
Kenyataan yang dipersoalkan itu menuduh beliau melakukan perbuatan berdosa serta terlibat dalam upacara memuja syaitan dan bomoh, malah mengamalkan ajaran sesat dan syirik.
Rosmah berkata, kenyataan itu mencemarkan reputasinya sebagai isteri kepada Perdana Menteri keenam dan penaung kepada pelbagai organisasi kebajikan di negara ini.
Beliau turut mendakwa ia menyebabkan beliau dipandang negatif oleh masyarakat, menjadi bahan ejekan serta penghinaan, dan mencemarkan nama baiknya sebagai tokoh awam.