KOTA KINABALU: SMJ Energy menjelaskan keputusannya untuk tidak menyertai bidaan Kluster Mutiara, dengan menegaskan bahawa fokus syarikat adalah terhadap pelaburan dalam aset minyak dan gas yang telah terbukti menguntungkan serta menjana aliran tunai stabil.
“Sebagai syarikat milik kerajaan negeri Sabah, SMJ Energy menekankan strategi pelaburan berhemah selaras dengan kepentingan kewangan negeri,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Sejak penubuhannya, syarikat itu telah berkembang pesat dengan nilai semasa mencecah RM5 bilion dan memiliki pegangan dalam aset utama seperti Samarang PSC (50 peratus), LNG9 (10 peratus) dan Loji Petrokimia SAMUR (25 peratus).
Dalam tempoh kurang tiga tahun, SMJ Energy telah mengisytiharkan dividen sebanyak RM160 juta.
Menurut syarikat itu, sektor minyak dan gas merupakan bidang berisiko tinggi, di mana kegagalan penerokaan boleh menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit.
“Oleh itu, SMJ mengelak menyertai projek yang memerlukan pelaburan awal besar tanpa jaminan kejayaan.
“Sebaliknya, SMJ Energy menggunakan pendekatan free carry dan hak back-in, yang membolehkan mereka hanya terlibat selepas penerokaan membuahkan hasil, tanpa menanggung kos dan risiko awal,” katanya.
Syarikat tersebut kini memiliki hak seperti itu dalam SB409 (20 peratus), SB403 (20 peratus), SB306A (7.5 peratus) dan SB306B (7.5 peratus).
Kluster Mutiara diklasifikasikan sebagai Sumber Ditemui (DRO) yang masih memerlukan kajian dan pembangunan lanjut dengan kos besar, dan oleh itu bukan keutamaan SMJ ketika ini.
Bagaimanapun, di bawah perjanjian CCA dengan Petronas, SMJ berhak memperoleh aset DRO setelah ia berjaya dibangunkan.
SMJ Energy dijangka akan membuat lebih banyak pengumuman strategik dalam masa terdekat selaras dengan pendekatan pelaburannya.