KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang sama sekali di negara ini berikutan risiko keselamatan tinggi dan pelanggaran undang-undang lalu lintas sedia ada.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lebuh raya merupakan laluan untuk pelbagai jenis kenderaan bermotor seperti lori, bas dan motosikal yang bergerak laju dan berbahaya kepada penunggang basikal.
“Dalam Kaedah Lalu Lintas LN165/59, terdapat 18 peraturan asas yang wajib dipatuhi penunggang basikal, termasuk Peraturan 65 yang menuntut kepatuhan terhadap semua undang-undang lalu lintas serta penggunaan isyarat tangan ketika berkayuh,” katanya, memetik laporan TV3.
Tambah beliau, Peraturan 66 pula memperincikan bahawa penunggang basikal perlu memilih laluan paling selamat dan mengelak kawasan lalu lintas sibuk.
Mohd Yusri turut menjelaskan bahawa larangan terhadap penggunaan lebuh raya oleh basikal, beca, basikal roda tiga dan kenderaan yang ditarik haiwan sudah termaktub dalam Kaedah Isyarat Lalu Lintas LN167/59, khususnya Peraturan 17.
“Papan tanda larangan perlu dipasang oleh pihak konsesi lebuh raya atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memberi pemberitahuan jelas kepada pengguna,” tegasnya.
Beliau mengingatkan bahawa penunggang basikal yang melanggar larangan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau dipenjara sehingga 12 bulan, bergantung kepada kes,” katanya lagi.
Menurut Mohd Yusri, berbasikal di Malaysia secara amnya dibahagikan kepada dua tujuan utama sebagai rekreasi dan sebagai pengangkutan.
“Untuk tujuan rekreasi, tempat yang sesuai adalah kawasan taman atau laluan khas semasa acara rasmi yang dianjurkan oleh PBT atau badan berkaitan. Jalan raya negara kita direka khusus untuk pergerakan kenderaan bermotor dan bukan untuk aktiviti rekreasi basikal di lebuh raya,” jelas beliau.
PDRM menyeru semua penunggang basikal agar mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan diri serta pengguna jalan yang lain.