Advertisement

DBKK Laksana Operasi Penguatkuasaan di Pasar KK, Tegas Pantau Aktiviti Penjaja Tanpa Lesen – Sabah News

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memperkukuh komitmen dalam memastikan pasar-pasar awam di bandar raya ini kekal bersih, teratur dan mematuhi undang-undang melalui operasi penguatkuasaan yang dijalankan secara berperingkat.

Dalam kenyataan media hari ini, DBKK memaklumkan bahawa dua operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan pada 9 Julai 2025 oleh Jabatan Pelesenan di dua lokasi utama, iaitu Pasar Besar Kota Kinabalu dan Pasar Ikan Kota Kinabalu.

Operasi pertama dijalankan sekitar jam 6.30 pagi di kawasan tempat letak kereta Pasar Besar Kota Kinabalu, di mana pihak penguat kuasa berjaya mengenal pasti dua penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah. Susulan itu, tiga plastik sagu dan dua kerusi yang digunakan dalam aktiviti tidak sah tersebut telah disita.

Operasi diteruskan pada jam 8.00 pagi di Pasar Ikan Kota Kinabalu, dan hasil pemeriksaan mendapati beberapa penjaja masih gagal mematuhi arahan penyimpanan peralatan di lokasi yang telah ditetapkan meskipun telah menerima notis dan peringatan sebelum ini. Antara barangan yang dirampas ialah dua tong buah oren, tiga kerusi kayu, tiga meja kayu serta satu raga.

DBKK dalam kenyataan tersebut menasihati semua penjaja agar sentiasa mematuhi syarat lesen dan peraturan, termasuk menjaga kebersihan dan kekemasan kawasan perniagaan demi keselesaan dan keselamatan pengunjung serta penduduk setempat.

“Kerjasama penjaja amat dihargai dalam mewujudkan suasana perniagaan yang harmoni dan berdaya saing. Namun begitu, DBKK menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran peraturan demi menjaga kelestarian dan ketertiban pasar awam di bandaraya ini,” tegas kenyataan itu.

Usaha berterusan DBKK ini menunjukkan kesungguhan pihak berkuasa tempatan dalam memelihara imej bandar raya serta memastikan sektor perniagaan kecil terus berkembang dalam kerangka yang sah dan beretika.