TAWAU: Bekas jaguh Muay Thai, MMA dan kickboxing negara, Dean Hamsah kini memacu satu inisiatif baharu dalam dunia sukan tempur menerusi penganjuran kejohanan profesional Call Out Combat, sebuah platform yang diiktiraf sebagai lonjakan baharu buat petarung tempatan ke persada antarabangsa.
Memetik Utusan Borneo, Dean berkata Call Out Combat direka khusus sebagai pentas profesional bagi atlet yang sudah melepasi peringkat amatur seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Sabah Gagasan Anak Negeri (SAGAn) tetapi mendambakan wadah lebih besar untuk terus berkembang.
“Ramai atlet tempur yang berjaya di peringkat amatur akhirnya terhenti di situ sahaja kerana tiada peluang untuk terus ke tahap profesional,” ujar Dean semasa ditemui ketika sesi latihan.
Menurutnya, Call Out Combat hanya memilih petarung berpengalaman termasuk juara SUKMA dan SAGAn serta mereka yang telah menyertai pelbagai kejohanan tempur dan tidak lagi bergantung kepada pelindung keselamatan seperti di pentas amatur.
Walaupun kejohanan ini terbuka kepada peserta antarabangsa, Dean menegaskan bahawa objektif utamanya tetap kepada pembangunan bakat dari Sabah.
“Kami mahu lahirkan lebih ramai petarung profesional Sabah yang boleh bersaing di pentas global. Di sini mereka bukan sahaja bertarung, tetapi juga menerima imbuhan yang wajar,” jelas beliau.
Jelasnya lagi, semua petarung yang menyertai Call Out Combat menerima bayaran, menjadikan acara ini satu kerjaya yang profesional, bukan sekadar hobi atau pertarungan suka-suka.
“Latihan mereka bukan calang-calang. Maka ganjaran setimpal adalah satu keperluan. Ini tentang memartabatkan sukan tempur Sabah sebagai industri yang serius,” tegasnya.
Sementara itu, salah seorang petarung yang bakal beraksi, Mohammad Hudzaifah Reitz, 29, menyifatkan kejohanan ini sebagai peluang keemasan untuk kembali aktif dalam dunia sukan tempur setelah sekian lama menyepi.
“Bukan saya tidak mahu bertanding sebelum ini, tetapi tiada platform dan kos penyertaan luar Sabah terlalu tinggi. Sekarang dengan adanya Call Out Combat, saya kembali dapat peluang yang realistik dan bermakna,” katanya.
Edisi kedua Call Out Combat bakal berlangsung pada 12 Julai ini di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau dan akan menyaksikan 15 pertarungan hebat melibatkan 30 petarung, termasuk enam wakil dari Indonesia.