SANDAKAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan berjumlah RM34.2 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Sandakan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Menterinya, Nga Kor Ming, menerusi program Sentuhan Kasih KPKT, meninjau lapan projek utama termasuk pembinaan sel Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Labuk yang menerima dana RM30 juta bagi memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal.
Selain itu, projek penyelenggaraan dan naik taraf kediaman strata di Apartment Taman Singapore turut dilaksanakan dengan peruntukan RM1 juta.
Pasar Elopura, Kim Fung, Umum dan Sim-Sim pula menerima RM2 juta bagi kerja naik taraf fasiliti penjaja.
KPKT turut meluluskan RM800,000 bagi menaik taraf gelanggang sukan di Taman Indah Jaya dan PPR Harmoni.
Delegasi KPKT juga meninjau Residensi PR1MA Borneo Cove yang menyediakan 999 unit kediaman mampu milik.
Nga menegaskan kejayaan projek ini hasil kerjasama erat antara KPKT, PBT dan Kerajaan Negeri Sabah demi meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.