TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencuri 86 tandan buah kelapa sawit di sebuah ladang di Serudong Laut, Kalabakan, pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 1.30 petang oleh sepasukan anggota polis bantuan bersama pasukan penguat kuasa ladang Usahawan Borneo ketika melakukan rondaan di kawasan ladang Sungai Serudong, Kalabakan.
“Hasil rondaan telah membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an sedang mengutip buah kelapa sawit secara haram di dalam kawasan ladang berkenaan,” katanya.
Ujarnya, turut dirampas dalam operasi itu ialah 86 tandan buah kelapa sawit, satu batang tombak dan satu penyodok yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan mencuri.
Tambahnya kerugian dianggarkan bernilai RM2,000 mengikut harga pasaran semasa.
Menurutnya, hasil semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.