KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tanjung Aru mengambil inisiatif mengadakan gotong-royong membaiki jambatan kayu di kawasan jeti perumahan Kampung Tanjung Aru Lama yang rosak akibat hujan lebat kemarin.
Ahli Jawatankuasa PGRS Tanjung Aru, Dr Ritchie Jay Cheng berkata, inisiatif ini adalah sebahagian usaha membantu penduduk kampung yang menggunakan jambatan tersebut setiap hari untuk keluar masuk rumah agar dapat berjalan dengan lebih selamat.
“Jambatan ini rosak kerana hujan lebat kelmarin, menyebabkan ia tidak selamat digunakan dan menimbulkan kesukaran kepada penduduk kampung.
“Sebagai Ahli Jawatankuasa PGRS Tanjung Aru, kami terpanggil untuk membantu memudahkan urusan penduduk kampung dengan membaiki jambatan ini secara gotong-royong bersama belia dan penduduk setempat,” katanya.
Bantuan itu diberikan sebagai respon segera daripada permintaan dan keperluan penduduk di Kampung Tanjung Aru Lama yang memerlukan jambatan mereka dibaiki dengan segera untuk keselamatan mereka.
Barangan keperluan untuk membaiki jambatan seperti kayu dan papan telah disumbangkan oleh Dr Ritchie sendiri bagi memastikan kerja baik pulih dapat dilaksanakan tanpa berlengah demi kepentingan penduduk kampung.
Menurut beliau, gotong-royong itu juga menunjukkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam komuniti, sejajar dengan nilai ihsan dan keprihatinan yang diketengahkan oleh kepimpinan negeri Sabah.
Dr Ritchie turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk sukarelawan belia kampung yang berganding bahu menjayakan proses baik pulih jambatan tersebut.
“Kita berharap usaha kecil ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk kampung dan memastikan keselamatan mereka terjamin semasa menggunakan jambatan ini setiap hari.
“PGRS Tanjung Aru akan terus berusaha membantu kebajikan rakyat di kawasan Tanjung Aru agar kehidupan penduduk kampung terus terjaga dan sejahtera,” tambah beliau.