KOTA KINABALU: Persatuan Bumiputera Bajau Semporna (Perbubas) menggesa rakyat Sabah, termasuk para pemimpinnya, untuk menolak pengaruh parti politik dari Semenanjung dan bangkit menuntut semula hak serta autonomi politik negeri ini.
Presidennya, Mansor Santiri, berkata sudah tiba masanya Sabah berhenti tunduk dalam ketakutan terhadap pemimpin Persekutuan dan menyatukan sokongan kepada parti-parti tempatan demi memulihkan maruah serta wakil sebenar rakyat Sabah.
“Siapa pun jadi menteri, jangan jadi penakut. Kita bukannya keluar Malaysia, jadi kenapa perlu rasa takut kepada sesiapa yang digelar Perdana Menteri?” katanya.
Mansor menzahirkan kekecewaannya kerana walaupun parti seperti STAR dan PBS telah berjuang selama puluhan tahun untuk menegakkan dominasi politik tempatan, Sabah masih kekal terperangkap di bawah bayang parti-parti dari Semenanjung.
Beliau menyalahkan kemasukan UMNO ke Sabah yang katanya dibawa oleh pemimpin Islam negeri ketika itu.
“Ia menyebabkan keruntuhan kekuatan parti tempatan asal seperti USNO, hingga melahirkan pemimpin seperti Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan mantan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal.
“Kita bukan memberontak, bukan mahu keluar Malaysia. Tapi kalau terus takut pada Putrajaya, Sabah akan terus rugi dan akhirnya, hilang segala-galanya,” tegasnya.
Mansor turut menyindir kepura-puraan segelintir pemimpin Muslim yang dahulunya menolak UMNO, tetapi kemudiannya menyertai gabungan dari Semenanjung seperti Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pada PRU 2020.
Beliau menyeru Ketua Menteri agar menunjukkan ketegasan dan berani keluar dari kebergantungan kepada gabungan Persekutuan, termasuk Pakatan Harapan yang kini sebahagian daripada GRS.
“Kalau betul-betul ikhlas soal MA63, terutama hak hasil negeri tidak perlu runding panjang. Pulangkan sahaja apa yang memang sudah termaktub dalam Perlembagaan.
“Mahu jadi macam Sarawak? Jalankan pentadbiran secara bebas di peringkat negeri. Parti tempatan mesti utamakan agenda sendiri dan akan disegani di peringkat nasional apabila Sabah mampu berdiri atas kaki sendiri,” katanya.