KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, tampil menggesa rakan seangkatannya dalam dunia rock tanah air, Datuk Amy Search, agar segera memberi penjelasan berhubung isu tular yang kini hangat diperkatakan oleh warganet.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 57, menegaskan bahawa Amy perlu bersuara bagi menjernihkan keadaan dan membersihkan nama yang turut dikaitkan dalam kontroversi terbabit.
“Amy Search ko ceritalah benda yang betul, habis semua manusia kpoh ni tuduh aku! Ambillah tanggungjawab ini bagitau perkara yang sebenarnya. Penat dan snak dada aku menjawab hal kau,” tulisnya.
Tindakan Awie itu hadir susulan pelbagai spekulasi dan kecaman yang timbul di media sosial selepas insiden melibatkan Amy Search dan penyanyi wanita, Shila Amzah, ketika sebuah acara baru-baru ini.
Setakat ini, Datuk Amy Search masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi, sementara para peminat dan pemerhati industri terus menanti penjelasan bagi merungkai kekeliruan yang tercetus.
Terdahulu dilaporkan, seorang penyanyi lelaki legenda tanah air mengherdik penyanyi popular, Shila Amzah ketika latihan untuk sebuah konsert di Stadium Merdeka, baru-baru ini.
Sumber berkata, Shila dikatakan diherdik secara kuat di hadapan ramai orang oleh penyanyi terbabit di stadium berkenaan kira-kira jam 11 pagi.
Susulan itu, Shila membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan yang dibuat penyanyi wanita itu.
“Setakat ini pihak polis sudah mengambil dua rakaman percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini, polis juga tidak membuat sebarang tangkapan setakat ini,” katanya.