Advertisement

Bubar DUN: Kita Tidak Tinggalkan Rakan-Rakan Komponen, Itu Prinsip GRS – Hajiji – Sabah News

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibuat secara bersendirian, sebaliknya akan melibatkan rundingan bersama semua parti komponen GRS.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Hongkod Koisaan, Penampang hari ini.

“Kalau ditanya bila nak bubar, saya kata nanti. Tapi satu yang pasti, kita dalam GRS tidak akan tinggalkan rakan-rakan. Itu prinsip kita,” kata Hajiji.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun kuasa membubarkan DUN terletak pada Ketua Menteri, keputusan itu mesti dibuat secara konsensus dan menghormati pandangan Majlis Tertinggi GRS serta pemimpin parti-parti gabungan.

“Saya akan berunding dan maklumkan kepada semua presiden parti dan rakan dalam gabungan sebelum buat apa-apa keputusan besar. Kita tak buat keputusan seorang diri,” katanya.

Hajiji turut menyuarakan keyakinan terhadap semangat perpaduan dalam GRS, khususnya selepas menyaksikan kehadiran dan semangat tinggi ahli-ahli parti dalam konvensyen bersama PBS dan STAR.

“Bila orang tanya, GRS ini siapa? Kita jawab, GRS ini satu pasukan yang bersatu dan bersedia hadapi rakyat dengan keyakinan,” ujarnya.

Mengulas soalan sama ada GRS akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, Hajiji berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS dan diputuskan bersama.