Advertisement

Lelaki Ditahan, Tekup Mulut Wanita dan Cuba Menyamun Dalam Bilik Sewa di Tawau – Sabah News

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian pencerobohan rumah dan cubaan menyerang seorang wanita di sebuah bilik sewa dalam satu kejadian yang berlaku di sekitar bandar Tawau, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 20 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Strike Team dari Balai Polis Tawau kira-kira jam 10.15 malam di perkarangan tempat letak kereta Homestay sekitar bandar Tawau, pada malam Rabu.

“Tangkapan dilakukan susulan siasatan kes pencerobohan rumah yang dilaporkan oleh seorang wanita berusia 25 tahun yang menjadi mangsa dalam kejadian tersebut.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan,” katanya.

Menurut ACP Jasmin, sebelum itu mangsa yang juga penyewa bilik berkenaan sedang tidur, namun suspek kemudianya dipercayai menyelinap masuk ke biliknya lalu menekup mulut mangsa dalam cubaan untuk menyamun mangsa.

Jelasnya, mangsa yang tersentak bangun terus menjerit dan menepis tangan suspek sebelum berjaya menolak pintu sehingga suspek tercampak keluar dari rumah. Bagaimanapun, suspek masih berdiri di luar rumah tanpa beredar menyebabkan mangsa dan penyewa lain bersembunyi dalam bilik kerana ketakutan.

“Hasil siasatan awal mendapati, tiada barang berharga yang hilang, namun tindakan pantas mangsa menyelamatkan diri telah berjaya menggagalkan niat suspek.

“Polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta menjalankan risikan yang membawa kepada penahanan lelaki tersebut. Kita akan siasat latar belakang suspek termasuk kemungkinan terlibat dalam kes-kes lain,” katanya.

Tambahnya, hasil semakkan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Ujarnya, polis turut merampas sebuah topi dan beg silang serta sepasang selipar yang digunakan ketika kejadian tersebut.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa memastikan pintu dan tingkap rumah berkunci terutama pada waktu malam serta tidak teragak-agak untuk menghubungi pihak polis sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan.

Sementara itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dalam keadaan mencurigakan di kawasan yang sama. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.