PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini dalam fasa akhir memuktamadkan Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0) yang bakal menjadi landasan utama kepada semua pihak dalam memperkukuh hak dan kesedaran pengguna di Malaysia.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, dalam sidang media sempena CONTEST 2025 Festival Pengguna di Penampang, menjelaskan bahawa DPN 2.0 dirangka sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menyemarakkan aktivisme konsumerisme dan membina pengguna yang berdaya upaya serta celik hak.
“DPN 2.0 bukan sahaja memperincikan tanggungjawab pemegang taruh tetapi juga bersedia menangani cabaran semasa seperti penipuan dalam talian, eksploitasi pengguna, produk tidak selamat dan penyalahgunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI),” katanya, di sini, semalam.
Tambah beliau, dasar baharu ini turut memberi penekanan terhadap isu kos sara hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti Program Payung Rahmah MADANI, Portal Ihsan MADANI, serta penggunaan indikator kos sara hidup sebagai panduan perbelanjaan pengguna.
Dalam usaha melibatkan masyarakat secara langsung, KPDN turut melancarkan Skuad Kita Pengguna (SKiP), iaitu sebuah inisiatif advokasi strategik yang akan digerakkan bersama komuniti.
“SKiP bakal memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej kepenggunaan, mendidik rakyat tentang hak mereka, serta menjadi penghubung antara kerajaan dan pengguna di seluruh negara.
“KPDN menyasarkan keahlian SKiP mencecah 25,000 orang menjelang akhir 2025 sebagai sebahagian daripada pendekatan inklusif dan responsif dalam pelaksanaan DPN 2.0.
“Dengan pelaksanaan DPN 2.0 dan penglibatan aktif SKiP, kita mahu pastikan setiap rakyat Malaysia menjadi pengguna yang bijak, berani bersuara dan tahu melindungi hak mereka,” tegas Armizan.