TAWAU: Polis menahan sepasang lelaki dan wanita dipercayai penagih dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Merotai, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 2.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau hasil maklumat risikan dan aduan orang awam.
Dalam serbuan itu, polis menemui 42 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan berat keseluruhan 5.83 gram yang dianggarkan bernilai RM400.00, disorokkan dalam sebuah beg kecil milik suspek.
“Dua suspek berkenaan masing-masing berusia 39 tahun (lelaki) dan 29 tahun (wanita). Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman berat termasuk penjara dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
ACP Jasmin turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.