Advertisement

PETRA Hargai Peranan Media, Umum RM8.8 Bilion Peruntukan Projek di Sabah

KOTA KINABALU: Peranan wartawan yang berlandaskan prinsip ketelusan, tanggungjawab dan integriti terus dihargai oleh Kerajaan MADANI sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan bahawa kebebasan media di Malaysia kini semakin kukuh dan diiktiraf dunia, selaras dengan komitmen kerajaan memperkasakan ekosistem media yang bebas dan progresif.

“Malaysia kini berada di kedudukan ke-88 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025, melonjak daripada tangga ke-107 tahun lalu menurut Reporters Without Borders (RSF).

“Ini bukti penghargaan terhadap keterbukaan kerajaan dalam memperkukuh media yang bebas dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus PETRA Bersama Media 2025 (Sabah) di sini, semalam.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas sumbangan penting mereka dalam melaporkan berita dan maklumat tepat kepada masyarakat, yang sekaligus menyokong usaha pembangunan negara.

Dalam sesi yang sama, beliau turut berkongsi perkembangan projek PETRA di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), dengan RM8.799 bilion diperuntukkan untuk 86 projek di negeri itu sehingga Jun 2025.

“Kerajaan MADANI komited memastikan Sabah terus membangun secara inklusif dalam keluarga besar Malaysia,” katanya.

Turut hadir dalam sesi libat urus ini ialah Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli, serta barisan pengurusan tertinggi PETRA dan agensi berkaitan.

Program ini diharap menjadi platform memperkukuh hubungan erat antara kerajaan dan media dalam menyampaikan dasar serta inisiatif transformasi negara kepada seluruh rakyat.