TANJUNG ARU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tanjung Aru meneruskan komitmen membantu penduduk setempat menerusi program sumbangan bakul makanan, kali ini menyasarkan keluarga-keluarga di flat Pangsa Kos Rendah Tanjung Aru.
Program tersebut merupakan inisiatif mingguan berterusan yang dikendalikan oleh pasukan sukarelawan PGRS Tanjung Aru dalam usaha meringankan beban komuniti, terutamanya golongan yang memerlukan seperti keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan ibu bapa dengan anak kecil.
Ahli Jawatankuasa PGRS Tanjung Aru, Dr Ritchie Jay Cheng berkata, sumbangan ini bukan sekadar bantuan keperluan harian, tetapi juga cerminan keprihatinan PGRS terhadap kesusahan hidup yang dialami segelintir penduduk bandar.
“Program sumbangan bakul makanan ini adalah bukti kehadiran kami di lapangan dan sokongan berterusan kepada penduduk yang memerlukan. Ia bukan hanya soal makanan, tetapi menyentuh soal nilai kemanusiaan dan solidariti komuniti,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif ini akan diteruskan secara konsisten dan diperluas dengan kerjasama sukarelawan PGRS termasuk golongan belia yang komited membantu masyarakat.
“Kami percaya usaha kecil seperti ini dapat memberi impak besar kepada kehidupan penerima. Ia juga mengeratkan lagi hubungan antara PGRS Tanjung Aru dengan masyarakat setempat,” tambah beliau.
Dr Ritchie turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini, khususnya sukarelawan muda yang turun padang menyusun dan mengagihkan bakul makanan secara tertib dan teratur.
Katanya, PGRS Tanjung Aru akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan kebajikan penduduk terpelihara, selaras dengan semangat kepimpinan negeri yang sentiasa mengutamakan rakyat Sabah.
“Kami akan terus berkhidmat selagi diperlukan, kerana inilah teras perjuangan PGRS – rakyat didahulukan, kebajikan diutamakan,” ujar Dr Ritchie.