Advertisement

56 Penduduk Pangsa Tanjung Aru Masih Bertahan

KOTA KINABALU: Seramai 56 orang penduduk pangsa Tanjung Aru masih bertahan di kawasan yang kini dilitupi zink selain berdepan pelbagai kekangan asas.

Faisal Ahmad, 47, berkata proses pemindahan belum selesai sepenuhnya khususnya melibatkan tawaran rumah baharu.

“Sekarang ni masih ada lebih kurang 11 orang yang belum ditawarkan rumah. Ramai dulu tolak tawaran sebab sekolah dekat dan tidak pasti status penempatan baharu. 

“Tapi bukan semua yang tolak tu menolak terus. Masa 2003-2004 tu ramai tunggu respon dari pihak berkuasa,” katanya.

Faisal sudah lebih 30 tahun tinggal di flat itu bersama ibu bapanya dan kini dengan isteri dan tiga anak.

“Bekalan air terhad, elektrik tidak terjamin dan keadaan fizikal flat uzur agak menyukarkan kehidupan.

“Bilik air kongsi, rumah banyak bocor, ada yang masih tunggu rumah baru siap untuk pindah tapi tak tahu bila boleh,” katanya.

Faisal berkata penduduk beharap agar pihak berkuasa mempercepat proses pemberian rumah yang ditawarkan supaya mereka boleh berpindah segera dan hidup dalam keadaan lebih selesa.

“Kalau rumah tu siap, penduduk memang sedia pindah. Kami tidak minta lebih,” katanya.

Rumah Pangsa Tanjung Aru yang mula diduduki sejak puluhan tahun lalu kini hampir kosong, dengan hanya beberapa blok masih berpenghuni.