Advertisement

Berang kontrak sewa tidak disambung, wanita tendang dan pukul tuan kedai

TAWAU: Akibat tidak puas hati apabila tuan kedai enggan menyambung kontrak sewa, seorang wanita bersama beberapa individu lain bertindak menyerang mangsa di dalam sebuah premis di Taman Semarak, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu ketika mangsa seorang wanita berusia 36 tahun berada di dalam premisnya sebelum didatangi suspek bersama empat lelaki lain.

“Suspek bertindak memukul dan menendang mangsa, selain mengeluarkan ugutan mahu membakar kedai serta menyatakan tidak akan melepaskan mangsa sekiranya terserempak di luar,” katanya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan berhubung isu penyambungan kontrak sewa yang bakal tamat pada bulan Ogos ini.

Susulan laporan polis yang dibuat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan dua individu termasuk rakan suspek seorang lelaki berusia 27 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 4.30 petang hari sama.

“Suspek seorang wanita berusia 36 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala suspek lelaki mempunyai empat rekod lampau melibatkan kes dadah serta khianat,” jelas ACP Jasmin.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan sebarang pertikaian dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.