KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan pelaksanaan pelan intervensi jangka pendek bernilai RM1 juta bagi mengurangkan gangguan bekalan air yang berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof semasa tinjauan Skuad PETRA ke kampus UMS hari ini.
PETRA menerusi satu kenyataan memaklumkan, intervensi yang dijalankan melalui kerjasama Jabatan Bekalan Air (JBA), PETRA dan pihak UMS dijangka memberi manfaat langsung kepada lebih 3,000 pelajar khususnya yang tinggal di Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kolej Kediaman Tun Fuad dua kawasan yang sering terjejas akibat isu tekanan air rendah.
“Antara tindakan yang akan dilaksanakan termasuk, pembinaan saluran agihan khusus untuk menyambungkan sumber air bawah tanah sedia ada di UMS; penambahan tangki air bawah tanah berkapasiti 0.13 juta liter; pemasangan injap kawalan automatik (automated modulating valve) bagi menstabilkan aras air dalam tangki servis UMS.
“Dan seterusnya,penyediaan pam penggalak (in-line booster pump) oleh JBA bagi meningkatkan tekanan air ke kawasan kediaman pelajar, menggunakan saluran by-pass yang telah dibina UMS.
“Kerja-kerja ini dijangka siap dalam tempoh sebulan dan akan menyumbang kepada penambahbaikan sistem operasi bekalan air kampus secara keseluruhan,” katanya di sini, hari ini.
PETRA turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pengurusan UMS, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan semua agensi teknikal yang telah bekerjasama dalam menjayakan pelan ini.
“Komitmen ini selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan aspek kesejahteraan dan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya pelajar sebagai pewaris masa depan negara,” tambah kenyataan itu.