Advertisement

LDP Gesa GRS Jangan Bekerjasama Dengan Umno, Fokus Dengan PH

KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi Parti Liberal Demokratik (LDP) sebulat suara menggesa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar tidak bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN)-Umno dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 akan datang.

Presidennya, Datuk Chin Su Phin berkata, GRS perlu menjalin hubungan baik dengan kerajaan pusat yang kini diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“GRS dijangka berbincang pembahagian kerusi dengan Pakatan Harapan (PH), tetapi PH juga perlu menunjukkan keikhlasan untuk bekerjasama. Sebaiknya, PH tidak bertanding lebih 20 kerusi,” katanya.

Menurut Chin, jika tiada persetujuan dicapai, GRS dan PH mungkin bertanding secara solo dalam ‘perlawanan persahabatan’ dan hanya berbincang pembentukan kerajaan selepas PRN.

Beliau turut menegur kemungkinan DAP bertanding enam hingga lapan kerusi majoriti Cina, yang boleh menjejaskan peluang parti-parti komponen Cina dalam GRS.

“Saya harap Ketua Menteri akan pertimbang perkara ini secara serius,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi LDP.

Chin berkata, sentimen parti tempatan masih kuat dalam kalangan pengundi Cina, tetapi memberi amaran jika Warisan kalah, komuniti Cina akan dilabel sebagai pembangkang.

“Warisan tidak cukup sokongan Kadazandusun dan akan hadapi cabaran besar di kerusi Melayu akibat perpecahan undi. Walaupun menang semua kerusi Cina, Warisan tetap tidak mampu bentuk kerajaan,” jelasnya.

Justeru, beliau menggesa pengundi Cina menyokong GRS untuk kestabilan dan kemajuan ekonomi.

“Di bawah GRS, Sabah menikmati kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi. Saya yakin Sabah akan terus maju tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau menambah, pertukaran kerajaan bukan jaminan kepada perubahan positif.

“Lihat Sarawak, ekonominya berkembang kerana tidak pernah tukar kerajaan. Tukar kerajaan hanya cetus ketidakpastian dasar dan halang pelaburan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, LDP memutuskan untuk membekukan bahagian Pantai Manis.