Advertisement

Mangsa Dibaham Buaya Ditemui Meninggal Dunia di Sungai Taman Kenari

SANDAKAN: Seorang lelaki bukan warganegara dikenali sebagai Obing Markum, 30-an, yang hilang selepas dipercayai dibaham buaya semasa merambat ikan di Sungai Taman Kenari semalam, ditemui meninggal dunia petang tadi.

Mangsa dilaporkan keluar menjala ikan sekitar jam 6 petang Isnin, namun hanya botnya ditemui pagi tadi dengan kesan gigitan buaya. 

Pihak Bomba menerima panggilan kecemasan jam 8.50 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Operasi melibatkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan serta bantuan daripada PDRM, APM, Jabatan Hidupan Liar, PPM dan orang awam.

“Mangsa ditemui jam 2.14 petang kira-kira satu kilometer dari lokasi bot dijumpai dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis.

“Mayat dibawa ke Hospital Sandakan untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 3.40 petang setelah kawasan disahkan selamat,” kata seorang pegawai jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.