Advertisement

RM260 Juta Projek Elektrik Lebih 60,000 Pengguna Sabah dan Labuan Terima Manfaat, Nikmati Bekalan Lebih Stabil

KOTA KINABALU: Seramai lebih 60,434 pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kini menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil hasil pelaksanaan tujuh projek tenaga bernilai lebih RM260 juta oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Projek Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Kota Kinabalu (KKBU) yang kini beroperasi sepenuhnya, memberi manfaat kepada lebih 11,000 pengguna di sekitar Tanjung Aru dan Kota Kinabalu termasuk meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). 

“Ia menggantikan sistem lama 66/11kV dengan kemudahan teknologi suis berpenebat gas (GIS) serta transformer baharu.

“Manakala, enam lagi projek tenaga yang berjaya disiapkan di bawah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) yang merangkumi Projek Sambungtara 132kV Labuan-Sipitang (RM34.92 juta) – Menyediakan talian penghantaran 275kV dari Beaufort ke sempadan Lawas, membolehkan 30MW tenaga diimport dari Sarawak.

“Projek PPU 33/11kV Ranau (RM31.3 juta) – Sambungan grid elektrik ke Ranau yang akan mengurangkan kebergantungan kepada stesen janakuasa diesel, memberi manfaat kepada lebih 15,620 pengguna,” katanya.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas menyempurnakan sesi penyerahan rasmi projek-projek berkenaan pada Isnin semasa tinjauan Skuad PETRA Sabah 2025 di sini.

Seterusnya, Projek tenaga yang berjaya siap adalah, Projek PPU Batu Sapi (RM30.02 juta) – Menambah baik agihan kuasa dari Stesen Janakuasa Batu Sapi ke kawasan Sandakan, manfaat kepada 4,744 pengguna; Projek Protection On-Line Monitoring (RM42 juta) – Pemasangan kabel dasar laut dari Menumbok ke Labuan bagi meningkatkan sistem perlindungan talian;

Selain itu, Projek PMU UMS 132/33/11kV (RM50.01 juta) – Tingkatkan kapasiti beban elektrik dari 93.51MW ke 131.60MW untuk kawasan UMS, Sulaman dan Alamesra; dan Sistem Pengukuhan 11kV Labuan (RM6.3 juta) – Naik taraf sistem perlindungan dan sokong pembangunan baharu di Labuan.

Menurut PETRA, keseluruhan projek ini telah berjaya memperkukuh infrastruktur tenaga Sabah dan Labuan, termasuk menyokong agenda ASEAN Power Grid bagi perkongsian tenaga merentas sempadan secara mampan.

“Projek-projek ini merupakan bukti komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat Sabah dan Labuan mendapat bekalan tenaga yang cekap, stabil dan mampu menyokong pembangunan ekonomi serta kesejahteraan komuniti,” jelasnya.