Advertisement

Sabah Bangkit Kerana Reformasi, Bukan Retorik — Roland Chia Bidas Kenyataan Bekas CEO SOGDC

KOTA KINABALU: Kenyataan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC), Abdul Kadir Abdullah Damsal, baru-baru ini disifatkan sebagai cubaan mengaburi fakta sebenar dan menutup kegagalan era pentadbirannya.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr. Roland Chia, berkata bahawa Sabah International Petroleum (SIP) sebenarnya berada dalam keadaan tenat sebelum usaha penyusunan semula dilakukan kerajaan GRS.

“Intervensi oleh pentadbiran GRS bukan sekadar kosmetik, ia penting demi kestabilan fiskal Sabah dan mengembalikan kawalan terhadap aset strategik tenaga negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa penubuhan SMJ Energy (SMJE) membolehkan Sabah, buat kali pertama, menyatukan kepentingan tenaga negeri, menyertai sektor huluan secara langsung dan memberikan manfaat nyata kepada rakyat.

“SOGIP yang dahulu lesu, kini menarik pelabur besar seperti Esteel Enterprise Sdn Bhd dengan pelaburan RM31 bilion. Ini bukan angka kosong. Ini pekerjaan sebenar, manfaat ekonomi sebenar,” katanya.

Roland turut menyentuh bahawa Sabah Energy Corporation (SEC) kini memegang hak agihan gas darat, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Malah, RM2 bilion kontrak telah diberikan kepada syarikat berpengkalan di Sabah pada 2024 sahaja.

“Bezanya kini ialah pemerkasaan institusi. SMJE dan SEC bukan lagi pemerhati, mereka pemain utama, diterajui anak Sabah hasil komitmen kerajaan negeri, bukan nasib semata-mata,” tegasnya.

Beliau turut membidas cubaan mempolitikkan penjelasan Datuk Seri Masidi Manjun dalam Dewan Undangan Negeri baru-baru ini mengenai ketidaksertaan Sabah dalam bidaan blok eksplorasi di Pantai Timur.

“Itu jawapan fakta kepada soalan Datuk Seri Shafie Apdal. Memutar konteks itu sebagai serangan peribadi adalah cubaan terdesak untuk mengalih perhatian,” katanya.

Roland menutup kenyataan dengan menyatakan bahawa Sabah hari ini bukan bangkit kerana nostalgia pentadbiran lalu, tetapi kerana reformasi berani yang memberi kuasa sebenar kepada negeri dan rakyatnya.