Advertisement

CIS Umum Bayaran Dividen RM25 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM25 juta bagi tahun kewangan 2024.

Dividen diserahkan oleh Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof, semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah Kedua Tahun 2025, disaksikan Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim dan ahli lembaga pengarah lain. 

Daripada jumlah itu, SEDCO dan Lembaga Pelabuhan Sabah menerima RM17.5 juta, manakala Tasek Corporation Berhad menerima RM7.5 juta.

Keputusan ini disokong oleh keuntungan bersih diaudit sebanyak RM36.7 juta bagi 2024, serta keuntungan RM33 juta dicatatkan untuk separuh pertama 2025.

Peningkatan prestasi CIS dipacu oleh langkah strategik seperti pengukuhan SOP perolehan, pelaksanaan tadbir urus telus, pengambilan bakat profesional muda, serta naik taraf loji dan penyelenggaraan menyeluruh. 

Lembaga Pengarah dan pengurusan CIS yang diketuai oleh Sumardi dan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong, komited terhadap tadbir urus korporat berintegriti dan yakin dapat terus menjana keuntungan serta memberi manfaat kepada pemegang saham, khususnya negeri Sabah.