BEAUFORT: Dua wanita cedera selepas kereta jenis Proton Persona yang mereka naiki terbabas dan terbalik ke dalam parit dalam satu kemalangan jalan raya di Simpang Jalan Mahkamah Beaufort, pagi kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa panggilan kecemasan diterima pada jam 11:02 pagi.
Susulan itu, pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort tiba di lokasi hanya dua minit kemudian.
Menurut Komander Operasi, PBK I Irwan Abdul, seramai 8 anggota bomba bersama dua jentera (FRT dan VIGO) dikerahkan ke lokasi kejadian.
Mereka berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan yang terbalik tersebut.
Mangsa pertama, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, mengalami cedera ringan, manakala mangsa kedua, wanita berusia 24 tahun, dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Beaufort menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11:25 pagi setelah pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.