Advertisement

MCCC Sabah Tubuh Koperasi Galak Keusahawanan Kolektif

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah secara rasmi mengumumkan penubuhan Koperasi Usahawan Utama Sabah Berhad sebagai inisiatif memperkasa keusahawanan dan kerjasama ekonomi dalam kalangan ahlinya.

Koperasi ini diterajui oleh MCCC Sabah di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Dexter Lau, manakala Naib Presiden Dewan, Louis Su Khon Fen Hong telah dilantik sebagai Pemangku Pengerusi bagi menyelia pembangunan dan penyelarasan koperasi.

Menurutnya, koperasi ini akan menjadi platform penting yang menyatukan sumber dan peluang perniagaan sesama ahli.

“Koperasi ini diasaskan atas tiga objektif utama. Pertama, sebagai platform untuk kerjasama ahli dan pembangunan kolektif, kedua, sebagai jambatan yang menghubungkan agensi kerajaan dengan sumber perniagaan dan ketiga, untuk mempromosi mekanisme kerjasama perniagaan yang lestari dan berasaskan platform,” katanya.

Tambah beliau, dasar dan perlembagaan koperasi kini sedang digubal untuk memperincikan struktur pelaburan, sistem operasi dan penyertaan projek secara telus.

Koperasi turut menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM5 juta bagi membiayai pelancaran, pembangunan platform dan modal pemula untuk projek-projek yang akan datang.

Struktur kepimpinan koperasi pula akan melibatkan gabungan ahli baharu dan lama dari MCCC Sabah, termasuk Jawatankuasa Usahawan Wanita, bagi memastikan kepelbagaian dan kecekapan tadbir urus.

Walaupun koperasi ini memberi keutamaan kepada perniagaan ahlinya, Soo menegaskan bahawa pihak luar turut dialu-alukan.

“Kami juga mengalu-alukan kerjasama dengan agensi kerajaan, GLC, PKS dan NGO. Kami ingin bersama-sama meneroka model baharu kemakmuran bersama melalui perkongsian membina dan manfaat bersama,” tambahnya.

Buat masa ini, Koperasi Usahawan Utama Sabah Berhad sedang membangunkan platform operasinya dan terbuka kepada rakan strategik yang mempunyai projek, kepakaran atau aset yang mampu menyumbang kepada pembinaan ekosistem ekonomi komuniti yang mampan dan saling menguntungkan.