KOTA KINABALU: Satu pertemuan strategik antara Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pasukan petugas Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), diketuai Prof Datuk N.K. Foo, telah diadakan bagi meneroka kerjasama memperkukuh hubungan antara pemain industri dan institusi akademik.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada keperluan industri semasa serta membentuk laluan kerjasama seperti latihan industri, penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, dan pengkomersialan inovasi.
Usaha bersama ini turut dilihat penting dalam menangani cabaran pembangunan sumber asli, modal insan dan sektor perniagaan di Sabah.
Prof Datuk N.K. Foo menegaskan pentingnya penyelarasan hasil akademik dengan kehendak industri.
“Kita perlu hasilkan graduan yang bersedia menyumbang secara langsung kepada ekonomi negeri,” katanya.
Ir. Ts. Tan KJ pula menyatakan bahawa kerjasama ini bakal membuka peluang kepada latihan industri, bengkel bersama dan penyelidikan pelbagai disiplin yang menyokong inovasi sains, pengurusan sumber asli dan pembangunan PKS.
Ir. Chia KF dan Ir. Eugene Choo turut menyuarakan kepentingan penglibatan PKS dalam kurikulum berasaskan industri dan program bimbingan keusahawanan.
Pihak UMS, termasuk Prof. Dr. Ho Chong Mun dan Ketua Program Matematik dengan Ekonomi, Dr. Assis Kamu, menyambut baik inisiatif ini dan berharap kerjasama strategik dapat dimuktamadkan.
Kedua-dua pihak kini dalam perbincangan untuk mewujudkan satu Rangka Kerja Libat Urus Industri-Akademia yang merangkumi penempatan pelatih industri, projek penyelidikan gunaan, kuliah jemputan serta platform perkongsian ilmu.
Lawatan ini berakhir dengan komitmen bersama untuk menyokong agenda pembangunan negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.