Advertisement

Cadang Jadikan Papar Sebagai Hab Industri Kreatif Sabah, Sokong Inisiatif 10Star Cinema

PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, mencadangkan agar daerah Papar dijadikan hab pembangunan industri kreatif Sabah berikutan potensi besar yang dimiliki kawasan itu, termasuk pelaburan strategik oleh pihak swasta seperti 10Star Cinema.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah dan Tayangan Perdana Impak Maksima 2 yang berlangsung di 10Star Cinema Benoni, Papar, malam tadi.

“Kehadiran 10Star Cinema di Papar bukan sahaja membawa dimensi baharu dalam hiburan dan perniagaan, tetapi turut membuka peluang limpahan ekonomi kepada komuniti setempat,” ujar Armizan.

Menurut Armizan, beliau amat tertarik dengan hala tuju 10Star Cinema yang bukan hanya berfokus kepada operasi pawagam semata-mata, tetapi juga menyediakan lima inisiatif komuniti iaitu, Cinema Charity; Cinema Awareness; Cinema Talk; Seminar Film Distribution; dan Cinema Short Film.

Beliau menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah penting ke arah pembangunan ekosistem industri kreatif di Sabah yang selama ini masih belum menyeluruh berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Kita boleh leverage kepada inisiatif ini untuk membantu talent spotting, penyediaan platform kepada bakat tempatan dan memperkasa potensi budaya serta khazanah alam Sabah,” katanya.

Armizan turut memaklumkan bahawa pelaburan 10Star Cinema yang kini telah membina enam pawagam termasuk di kawasan luar bandar seperti Kinarut dan Kundasang, menunjukkan keberanian dan keyakinan pelabur terhadap Sabah.

Beliau turut mendedahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif 10Star Cinema, Onn Norshal, merupakan anak jati Tawau dan individu berpengalaman dalam industri perfileman tempatan, telah bersetuju untuk membantu merangka pelan hala tuju industri kreatif Sabah bersama tokoh kreatif seperti Dr Ahmad Idham.

“Saya akan membawa syor-syor ini ke peringkat Kerajaan Negeri dan juga Kementerian Komunikasi di peringkat Persekutuan. Namun, pelibatan penggiat seni tempatan juga amat penting untuk memastikan pendekatan yang inklusif dan realistik,” tambahnya.

Dalam konteks infrastruktur, Armizan turut mencadangkan agar Kompleks Kebudayaan Kinarut yang sedang dibangunkan Kerajaan Negeri dijadikan salah satu pusat sokongan kepada hab industri kreatif.

“Kompleks itu tidak sepatutnya hanya jadi tarikan pelancongan. Ia boleh dimanfaatkan untuk penggambaran, produksi filem dan pusat latihan kreatif. Jika ekosistem lengkap disediakan, Sabah boleh menjadi destinasi utama industri perfileman termasuk bagi produksi antarabangsa,” jelasnya.

Armizan turut menegaskan bahawa pembangunan industri kreatif bukan sekadar membangunkan sektor seni, tetapi juga menjana pendapatan alternatif kepada rakyat, seiring usaha menangani kos sara hidup.

“Kos sara hidup bukan hanya soal harga barang, tetapi soal kemampuan rakyat memperoleh pendapatan. Industri kreatif adalah antara jalan penyelesaiannya,” katanya.

Beliau berharap program seperti Impak Maksima 2 yang memilih Papar sebagai lokasi tayangan perdana akan menjadi titik permulaan kepada kebangkitan industri kreatif di Sabah, dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri dan para pemain industri.