PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menjadikan had tempoh pentadbiran Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal berturut-turut sebagai antara komitmen utama dalam manifestonya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, cadangan menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah ini telahpun diluluskan oleh Kabinet Negeri Sabah pada Disember 2023.
Dan kini katanya, berada dalam peringkat penyediaan draf Rang Undang-Undang (RUU) untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita tidak boleh laksana sekarang kerana kita masih belum mempunyai majoriti dua pertiga di DUN. Ini syarat perlu untuk meluluskan sebarang pindaan perlembagaan negeri.
“Jadi itu sebab kita mengharapkan supaya rakyat Sabah dapat bersama-sama kita, bagi ruang kepada GRS dan siapa-siapa yang sudi bersama kita, kita akan masukkan dalam manifesto kita, bahawa antara benda awal yang akan kita laksanakan sebaik mendapat mandat daripada rakyat dalam PRN yang akan datang adalah untuk kita meminda perlembagaan negeri dengan menghadkan tempoh pentadbiran seseorang Ketua Menteri kepada dua penggal secara berturut-turut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film “Sabah” dan Tayangan Perdana “Impak Maksima 2” yang berlangsung di Benoni, Papar semalam.
Armizan dalam pada itu turut menjelaskan bahawa mekanisme had penggal ini tidak menafikan hak seseorang pemimpin untuk kembali selepas tempoh rehat.
“Dua penggal berturut-turut sahaja. Kalau ada rezeki dan umur panjang, boleh kembali bertanding selepas satu penggal berehat,” katanya.
Beliau menegaskan, langkah ini selaras dengan prinsip good governance, memastikan kitaran kepimpinan lebih sihat dan memberi peluang kepada pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Inilah makna sebenar komitmen GRS kepada pembaharuan, bukan sahaja menyatupadukan rakyat Sabah, tetapi juga memulihkan integriti dan kestabilan institusi kerajaan negeri,” tegas Armizan.