TAWAU: Kerajaan Persekutuan terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan warga pertahanan menerusi tinjauan Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini terhadap kemajuan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Tambahan Pelbagai Kelas di Kem Kabota, Tawau.
Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, projek berimpak tinggi bernilai RM97 juta ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk menyediakan perumahan moden, selesa dan selamat buat anggota tentera dan keluarga mereka.
Projek ini telahpun dimulakan pada 2 Mei 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Oktober 2026.
“Sehingga kini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 14 peratus, dan ia dilaporkan berjalan mengikut jadual dari segi masa, kos dan spesifikasi yang ditetapkan.
“Projek ini dilaksanakan secara konvensional perunding oleh Erawan Power Sdn. Bhd., dengan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) sebagai agensi pelaksana, manakala pemantauan keseluruhan projek dikendalikan oleh Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Antara kemudahan yang akan disediakan apabila projek ini siap kelak termasuk sembilan blok Pangsapuri Kelas G; Pangsapuri Kelas C1, E & F; Rumah banglo dan rumah berkembar (semi-D); Tadika dan taska; Gelanggang serbaguna dan taman permainan; dan Menara tangki air baharu.
KKR menyatakan bahawa kemudahan ini dijangka mampu memberi manfaat besar kepada anggota tentera, menjadikan kehidupan mereka lebih selesa, seimbang dan bermotivasi, sekali gus menyokong prestasi mereka dalam menjalankan tanggungjawab kepada negara.
“Projek ini juga mencerminkan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kelestarian, khususnya dalam penyediaan infrastruktur awam berkualiti tinggi,” tambah kenyataan itu.
KKR turut menggesa JKR dan kontraktor projek untuk terus melaksanakan pemantauan rapi, libat urus berterusan dan pemeriksaan berkala agar projek dapat disiapkan mengikut perancangan dan memberi manfaat segera kepada komuniti pertahanan di Sabah.