Advertisement

Kerangka Manifesto GRS Berpaksi Dua Komponen Utama Termasuk Dasar Hala Tuju SMJ

PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang merangka sebuah manifesto komprehensif menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang yang berpaksikan kepada dua komponen utama, meliputi kesinambungan empat teras perjuangan GRS serta pencapaian dan hala tuju masa depan melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.

Perkara itu diumumkan Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, yang telah dipertanggungjawabkan oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk mempengerusikan Task Force Manifesto GRS yang turut dianggotai wakil dari semua lapan parti komponen GRS.

“Mesyuarat pertama telah berlangsung semalam dengan baik, dan secara dasarnya kita telah menyepakati bahawa kerangka utama manifesto GRS akan mengandungi dua komponen penting yang mencerminkan perjuangan serta komitmen berterusan GRS kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah & Tayangan Perdana Impak Maksima 2 di Benoni, malam tadi.

Armizan menjelaskan, komponen pertama manifesto adalah kesinambungan kepada empat teras perjuangan GRS sejak penubuhannya termasuklah, Sabah First – Mendahulukan kepentingan Sabah; Sabah Forward – Memacu kemajuan ke hadapan; Sabah Prosper – Meningkatkan kemakmuran rakyat; dan Sabah United – Memperkukuh perpaduan rakyat Sabah.

“Kesemua ikhtiar dan agenda masa depan akan dirangka dalam kerangka empat teras ini, yang menjadi tunjang utama perjuangan GRS sejak awal,” katanya.

Menurut Armizan, komponen kedua akan menzahirkan komitmen GRS terhadap janji yang telah dan sedang dilaksanakan menerusi pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 sejak 2020.

Beliau menjelaskan bahawa pencapaian GRS akan dipaparkan dalam dua bentuk, iaitu Walk the Talk – Menunjukkan kejayaan dan hasil nyata yang telah digarap sejak lima tahun lalu dan Work in Progress – Menjelaskan usaha-usaha yang sedang dilaksanakan dan akan diteruskan dalam penggal akan datang.

“Manifesto ini bukan sekadar janji baharu, tetapi penzahiran komitmen dan tekad GRS yang telah terbukti melalui pencapaian. Kita mahu rakyat Sabah tahu bahawa janji kita bukan sekadar kata-kata, tetapi telah dan sedang dilaksanakan,” tegasnya.

Armizan turut memaklumkan bahawa draf penuh manifesto ini akan dibawa kepada Majlis Tertinggi GRS untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum diumumkan secara rasmi kepada rakyat.

“Walaupun kerjasam a politik telah melalui perubahan sejak 2020, GRS tetap kekal konsisten dalam prinsip perjuangannya dan terus komited untuk membawa Sabah ke arah yang lebih maju, makmur dan bersatu,” tambah beliau.