BEAUFORT: Niat seorang lelaki warga emas menemani isterinya ke rawatan dialisis berakhir tragedi apabila beliau rebah dan meninggal dunia secara tiba-tiba di hadapan sebuah gerai makan di Kampung Bingkul, pagi semalam.
Mangsa, Jislin Muska @ Muskah, 64, berketurunan Bisaya, dilaporkan sedang dalam perjalanan ke hospital bersama isteri dan anaknya sebelum mereka singgah bersarapan di sebuah gerai berhampiran Jabatan Air Beaufort.
Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Wong Leong Meng, mangsa rebah selepas keluar dari tandas dan dalam perjalanan kembali ke tempat duduk.
Anaknya segera menghubungi hospital, namun pasukan perubatan yang tiba kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Beaufort dan hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah. Punca kematian disahkan sebagai serangan jantung,” Wong berkata.
Jelasnya, Mangsa turut mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk diabetes, darah tinggi, asma serta jangkitan paru-paru, dan baru-baru ini menerima rawatan sebanyak dua kali.