Advertisement

Sabah Peroleh 25 Peratus Ekuiti dalam Fasiliti LNG Terapung ZLNG PETRONAS di Sipitang

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah melalui syarikat pelaburannya, SMJ Energy (SMJE) akan memperoleh 25 peratus ekuiti dalam projek fasiliti gas asli cecair terapung berhampiran pesisir (ZLNG) bernilai USD3.1 bilion di Sipitang.

Langkah ini dimuktamadkan menerusi perjanjian utama (Head of Agreement, HOA) yang ditandatangani bersama PETRONAS di Malaysia Petroleum Club (MPC) hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut berkata, kerjasama ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha mencapai matlamat pembangunan jangka panjang Sabah.

“Melalui pelaburan strategik seperti ZLNG, kita akan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri sambil memastikan hasil kekayaan sumber asli Sabah memberi manfaat secara langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Fasiliti ZLNG yang kini dalam pembinaan dijangka beroperasi pada separuh kedua tahun 2027, dengan kapasiti 2 juta tan setahun (MTPA). Lokasi berhampiran pesisir di Sipitang menjadikannya tambahan signifikan kepada landskap LNG negara.

Projek ini turut melengkapkan kemudahan LNG lain di Sabah iaitu PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA) yang kini beroperasi di perairan negeri itu.

Selain penyertaan dalam ZLNG, Kerajaan Sabah juga mengumumkan hasrat untuk memperoleh 40 peratus kepentingan dalam PFLNG1 melalui SMJ Energy dan proses semakan terperinci (due diligence) dijangka bermula dalam separuh kedua tahun ini.

Sejak menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada Disember 2021, SMJ Energy berkembang pesat dan kini memiliki 50 peratus ekuiti dalam aset pengeluaran minyak Samarang PSC; 10 peratus ekuiti dalam LNG9; 25 peratus ekuiti dalam kompleks petrokimia SAMUR; pemilikan penuh ke atas Sabah International Petroleum (SIP), pengendali aset FPSO dan FSO; dan hak percuma dan back-in rights dalam blok penerokaan SB409 (20 peratus), SB403 (20 peratus), SB306A (15 peratus) dan SB306B (15 peratus).

Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat, menyatakan bahawa penyertaan dalam projek ZLNG adalah sebahagian daripada rancangan strategik syarikat untuk memperluas portfolio dalam sektor huluan, LNG dan petrokimia.

“Kami ialah pelabur kewangan yang berhemah dengan pendekatan portfolio yang disiplin. Peluang ini selari dengan mandat kami untuk menjana aliran tunai jangka panjang yang stabil menerusi aset berkualiti tinggi dan menguntungkan,” katanya.

Di peringkat hiliran, Sabah Energy Corporation (SEC) sebagai pengagregat dan pengedar gas negeri turut memainkan peranan penting memastikan bekalan gas domestik yang stabil bagi menyokong keperluan industri di Sabah.

Antara projek pentingnya termasuk membekalkan gas kepada loji keluli hijau E-Steel bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), satu pelaburan utama yang menyokong agenda diversifikasi industri Sabah.

Langkah strategik ini mengukuhkan komitmen Sabah dalam menjadikan sektor tenaga dan industri sebagai pemacu utama kemajuan negeri selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.